Wednesday, April 6, 2011

'SEMIO' TAMU KOTA BELUD:..Mencari nilai tambah



Mengimbau sejarah Tamu mingguan atau ‘Semio’ di Kota Belud yang diadakan setiap hari minggu (ahad) , ianya telah melalui pelbagai rentetan sejarah suka duka dan pahit maung sepanjang jasanya kepada masyarakat Kota Belud yang yang dilingkungi oleh segenap lapisan rakyat dari pelbagai kaum dan etnik. Transformasi demi transformasi yang dilalui oleh ‘Semio’ ini sedikit sebanyak seakan menghakis ‘keasliannya’ yang pernah ditandai sebagai tempat bertemu, berdagang dan pusat pengembangan ekonomi rakyat yang unik secara tradisional oleh masyarakat sekitar Kota Belud.
Justeru, betapa perlunya ‘semio’ ini dijenamakan semula bukan setakat pengembangan ekonominya tetapi sebagai pusat pengembangan seni budaya pelbagai kaum demi mendukung perpaduan serta menterjemahkan konsep 1Malaysia. Melalui seni dan budaya. Pokok pangkalnya, sesuatu perlu dilakukan untuk meletakkan ‘semio’ sebagai pusat pengembangan budaya setempat selain daripada pusat pengembangan ekonomi masyarakat Kota belud.
Ini bermakna, sesuatu nilai tambah perlu dilakukan terhadap fungsi semio agar memberi sesuatu ‘pulangan’ berbeza pada masyarakat. Pada masa yang sama memberi keunikan semula kepada semio yang dikhuatiri terbenam nanti kemeriahannya di mata masyarakat Kota Belud yang pernah menyanjunginya, lebih-lebih lagi di mata para pelancong luar negeri mahupun mengunjung dalam negeri yang datang bertandang ke ‘semio’. Nilai tambah itu nanti akan menambahkan kemeriahan serta keunikan semio. Mari kita semarakkan seni di semio. Pelbagai cabang seni mampu kita ketengahkan. Meliputi seni budaya dari pelbagai kaum. Bajau, Dusun, Irranun, Ubian, Cina dan lain-lain.

Read more...

Sunday, December 12, 2010

Guru oh guru...

INFO: Antara beban tugas guru

1.Kekerapan guru keluar berkursus
2.Kokurikulum/sukan
3.Tugas hujung minggu
4.Tugas rencam
5.Tugas tidak jelas
6.Penempatan guru
7.Rantaian arahan (chain of command)
8.Ujian/peperiksaan
9.Silap padanan (mismatch)
10.Saiz kelas
11.Sebaran kurikulum.

INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru

1.Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
2.Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
3.Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
4.Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
5.Pelan Operasi Latihan Tahunan
6.Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
7.Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
8.Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
9.Pengenalan kurikulum secara atas talian
10.Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
11.Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di 12.sekolah menengah
13.Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
14.Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
15.Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
16.Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
17.Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
18.Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
19.Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
20.Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
21.Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.

Read more...

Tuesday, May 18, 2010

Sibu - Maruah Melayu dan bumiputera tergadai?

Ketika saya membaca berita kekalahan BN di Sibu. Kemenangan DAP. Mungkin ramai tidak menyangka. Mungkin! Secara spontan terpancul sesuatu dari kotak fikiran saya... Mungkin panculan dari ruang lingkup saya sebagai bukan ahli politik...tapi sebagai peminat politik! Sebagai peminat kepada bidang yang penuh misteri dan tipu helah ini, yakni bidang yang penuh dengan elemen kesenian berbahasa, kesenian berbicara, kesenian daya-pujuk, kesenian pemfitnahan...apa saja! pendirian saya dari dulu lagi bahawa politik sebenarnya menjangkaui segenap lapisan sempadan pemikiran dan perbuatan...politik ada di mana-mana!

Nah!! Saya semacam terpanggil menggariskan pandangan peribadi. Saya akan cuba siatkan nilai kebumiputeraan dan kepartian, sekurang-kurangnya saya juga akan sisihkan sentimen perkauman...yang membelenggu setiap inci sarat pemikiran kita sebagai umat manusia..di Malaysia. Bukan di Indonesia, bukan di Thailand, bukan di kemboja, bukan di mana-mana. Tapi di Malaysia.

Ekoran dari kekalahan BN di Sibu. Tundingan jari jemari yang berkenaan pantas menghala ke arah kelemahan jentera pilihanraya, keteringinan pengundi mencuba angin baru. Tusukan senjata dari pembangkang memang hebat! Tapi yang lagi hebat dan bergaya ialah keberanian para pengundi beralih arah...melunaskan penghormatan terhadap parti pemerintah...Politik itu sendiri telah pun mengkagumi pendirian para pengundi di bandar. Politik itu juga telah menyaksikan bahawa riak politik di bandar dan riak politik di desa tetap tidak sama. Dan politik itu jugalah yang membuat titik tanda untuk sebuah pengajaran dan sekelumit iktibar dari setiap kekalahan dan kemenangan.

Lihatlah...betapa melayu dan bumiputera sudah tidak punya masa untuk berhantukan sesama sendiri. Bercakaran hanya membenihkan fitnah dan mencipta rentak canggung tarian yg kian sumbang didendangkan. Di mana sudahnya kebobrokan melayu dan bumiputera? Semakin bangsa lain ligat memainkan duri-duri itu...semakin tinggi lagi indeks perpecahan itu.

Melayu dan bumiputera harus bersatu...Melayu sesama melayu mesti bersatu. bumiputera dan sesama bumiputera yang lain mesti berada di atas satu saf...selagi akta itu ada terkandung dalam Perlembagaan. Kita masih punya banyak masa melakukannya. Tidak kiralah penyatuan dalam apa saja pun. Politik cuma satu idea. Tapi rangsangan mungkin tidak kuat di situ. Kerana kita masih terlalu berbasah basi dengan ideologi mandiri. Masih bermadah-helah dengan kesakitan dan keseronokan. Terlalu bersopan dengan pendirian. Mungkinkah rangsangan akan menunjang bila anak cucu cicit kita sudah tergadai maruahnya. Di situ barulah...sayang sudah terlambat!!!

Read more...

Monday, November 16, 2009

KECANTIKAN SEORANG WANITA......

Di mana cantiknya seorang wanita?...pada matanya yang hening? Jelingannya yang manja? Atau pada bibirnya yang mungil? Menyerlahkan senyuman manis? Boleh jadi pada dahinya yang licin? Atau juga sekali sekala pada batang tubuhnya? Atau pun pada hilai tawanya yang gemersik? dan suara manjanya yang boleh melembutkan, sekaligus menghangatkan perasaan?..Aduhai wanita, gadis dan perempuan...

Di mana sebenarnya kecantikan seorang wanita? Di manakah letaknya keindahan seorang wanita itu?..Sebenarnya, sejuta perkataan pun belum cukup untuk menceritakan kecantikan seorang wanita, 1000 gurindam pun belum tentu lengkap untuk mengambarkan keistimewaan kaum Hawa. Segala-galanya tentang tubuh seorang wanita adalah keindahan. Termasuklah mata, bibir, hidung, telinga, rambut, pipi, leher, dada, pinggang, pusat dan punggung...pendek kata sekujur tubuh wanita, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah keindahan. keindahan!

Sayangnya...kecantikan itu ada ketikanya tidak dilihat dari sudut seni. Tubuh wanita dilihat sebagai rangsangan untuk naluri semulajadi manusia-seks! Ego lelaki telah mengekplotasi segalanya pada tubuh seorang wanita..mengheret orentasi kelam terhadap wanita yang dikatakan lemah. Menjunamkan cahaya terang ke lembah paling dalam!...mengambil kesempatan!

Wanita memang spesis yang cantik. Langkahnya yang longlai, hayunan tangan, lenggang lenggok punggungnya boleh mendebarkan. Tidak hairanlah wanita sanggup berbelanja dan melakukan apa sahaja demi kelihatan cantik dan menarik. Berdiet, berjoging, ke pusat aerobik, senaman, menghadiri kelas penjagaan tubuh, ke Salon-salon kecantikan, mengambil jamu, tablet, makjun, urutan tradisional...semuanya kerana ingin kelihatan cantik. Ringkasnya, wanita sanggup berbelanja puluhan ribu untuk tujuan pembedahan plastik, botox, susuk dan macam-macam lagi.

Tetapi sayang sekali..mustahil untuk tubuh sentiasa montok dan menawan..mustahil! Semuanya bersifat sementara. Tidak kekal. Hanya menunggu masa untuk hilang. betapa pun dijaga, dipelihara...tiba masanya kulit akan berkedut, bibir akan kecut, mata akan kabur dan pipi bakal jadi kerepot!

Benarlah tidak ada yang kekal bagi seorang manusia. Kecantikan tubuh akan musnah ditelan masa...dimamah usia. Hanya satu yang tidak dimamah usia dan akan kekal selamanya iaitu SOPAN SANTUN DAN BUDI BAHASA...itulah kecantikan yang sebenarnya.......

Read more...

Friday, October 16, 2009

MEMUPUK KESATUAN MINDA



Ketika ini..kelmarin dulu, kelmarin dan hari ini..saya tidak berada di Menara Dato' Onn. Saya berada di rumah. membuka mata! Mendengar. Melihat kaca tv. Saya melihat "UMNO'..Perhimpunan Agung Umno 2009 yang penuh makna, penuh sejarah. Melihat dengan mata hati. Berfikir dan mentaksir dengan akal minda sejauh yang mampu..Umno, parti keramat kini memulakan satu deruan transformasi!

Dari persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri. Ucapan dasar Presiden, timbalan dan naib-naibnya.. Demikian juga ucapan dari wakil-wakil perwakilan. Terlalu banyak yang diperkatakan sehingga minda fikir tidak sempat 'berlegar' lebih lama untuk mencernakan serta menghuraikan idea, cadangan, persoalan dan isu yang dibangkitkan. Hebat! ramainya pemikir dalam Umno. Seawalnya..persoalan peribadi yang saya titipkan ialah sejauh mana piung-piung perubahan yang dilontar dan diutarakan dapat 'merakyatkan' ahli di peringkat akar-umbi? Sejauh mana? Jawabannya bukan sekarang. Tidak adil memberikan penilaian sekarang sedangkan kesannya belum terzahir.

Tertarik dengan salah satu ungkapan Yg. berhormat Timbalan Presiden iaitu 'Memupuk Kesatuan Minda'..saya pun membugarkan fikiran! Betapa inilah pokok pangkal perubahan yang seawalnya dipupuk, diorentasikan dan ditebarluaskan di peringkat akar umbi, diakarteguhkan di peringkat saf kepimpinan teratas Umno..penjelasan paling mudah ialah..Dari Presiden, timbalan, naib-naib, AMT dan seluruh kepimpinan Bahagian mahu pun cawangan dan juga ahli biasa akan 'Disatukepalakan'. Jika kesatuan minda ini dapat dipupuk lebih awal maka perjalanan untuk berubah seterusnya pasti berada di jalan yang terang. Agak sukar bunyinya..Namun saya percaya tiada halangan untuk seorang ahli Umno yang bergelar pejuang dan sebaliknya memang sukar pula untuk sesorang ahli Umno yang bergelar petualang.

Dengan angka keahlian ahli Umno yang menjangkau hampir 3.5 juta orang. Bagaimana mungkin kesatuan minda ini dapat dipupuk? Hampir sukar untuk ahli Umno mendekati matlamat memupuk kesatuan minda ini dalam suasana rasa kebersamaan..Apakah langsung tidak ada caranya? Perlukah Melayu dan bumiputera menunggu sehingga ada pihak yang membangkitkan isu-isu hak melayu dan bumiputera? agama Islam? kontrak sosial? kemudian barulah kononnya kita bangkit dan mengesahkan konsep kesatuan minda ini?

Untuk melestarikan kesatuan minda ini yang terlalu subjektif bunyinya. Maka Umno perlulah mencari perencah yang mampu merubah ke arah pembentukan 1minda. 3.5 juta ahlinya dambakan kekuatan dan kecekalan semangat. Lontarkanlah jauh-jauh kemelut prejudis sesama ahli dan sesama pemimpin yang selama ini membelenggu jiwa..Jiwailah sepenuhnya parti keramat Umno ini.

Kesatuan minda itu!..Kalau pun tidak sepenuhnya, memadailah dengan menyeru, membawa dan menyatakan "Kita sokonglah yang mendapat majoriti"..."Usah berpuak-puak dalam parti".."Hindari perbalahan, setiap kekusutan masih ada jalan"...

Read more...

Friday, October 9, 2009

UMNO KE RUANG KATARSIS

Imam Syafie ada menyatakan, "Air yang mengalir biasanya jernih; air bertakung pula selalunya keruh dan berbusuk". Siapa yang boleh menafikan ini? Kebenaran perkara ini sudah dapat dibuktikan melalui kaedah saitifik. Maknanya air perlukan arus, perlukan alunan..perlu terus bergerak untuk terus mengalir dan bernafas. Berbeza dengan air yang bertakung...ianya kotor, keruh, kehijauan dan berbusuk.

Dalam dunia kepolitikan dan kepimpinan perlu ada perubahan. Perubahan dalam erti kata mengiringi arus modenisasi semasa. Jika kehendak dunia berubah, maka minda dan jiwa fikir kita perlu berubah. Jika tidak, mana mungkin kita mampu menyerap dan beradaptasi dengan perkembangan dunia dan alam sekeliling yang melibatkan sosial, ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

UMNO umpamanya, perlukan pembersihan jiwa dan raga agar ia menjadi jernih semula. Diyakini 'penganutnya'...jika tidak, bekulah Umno!..jumud jiwa dan perasaanya, kejang mata dan telinganya!

Umno sudah lama mengisi mimpi-mimpi ketika sedang enak tidur di ranjang. Umno juga sudah sempat mengutip air-air mata perjuangan sejak mula penubuhannya. Umno juga sudah kekenyangan dengan darah-darah perbalahan serta tulang temulang perpecahan yang silih berganti memulas semangat perpaduan dalam kalangan ahlinya..Justeru, Umno perlulah ke ruang Katarsis

Tarikh 15 Oktober 2009 ini akan memperlihatkan pada ahli dan rakyat bagaimana Umno bakal melakukan pembersihan dan penyucian struktur pengurusan, kaedah pentadbiran dan barisan kepimpinannya. Perubahan semua ini disifatkan sebagai yang paling berani dan radikal dilakukan atas nama keinsafan untuk berubah dan memenuhi kehendak ahli dan rakyat. Ia juga peluang untuk Umno bertindak secara demokratik, terbuka dan inklusif. Antara yang bakal diputuskan :

• Ahli akar umbi akan menentukan barisan kepimpinan
• Hapus sistem kuota
• Mesyuarat perwakilan serentak
• Menghakupayakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan
• Melantik ramai kaum wanita dalam kepimpinan
• Yuran keahlian RM2 seumur hidup.
• Kuasa untuk Pemuda, Wanita dan Puteri meluluskan keahlian baru dan iktiraf SU Bahagian.

Jika pun Umno ke ruang katarsis, biarlah seperti "telur dua sebandung, pecah satu, pecah kedua-duanya"... Janganlah seperti "abu di atas tunggul, datang angin terbanglah ia"...

Read more...

Monday, October 5, 2009

Apa Ada Dalam Gendang??

Di sebuah kampung ada seorang budak lelaki yang suka memukul gendang. Dia tidak mahu berhenti memukul gendang, biar apa pun yang dibuat atau diberitahu oleh orang lain. Jiran-jiran tetangga tidak tahan dengan bunyi gendang tersebut yang bising..saban hari dipukul oleh si budak tadi.Akhirnya jiran-jiran budak tadi meminta pertolongan daripada orang lain supaya berbuat sesuatu untuk menghentikan perbuatan tersebut.

Orang pertama datang dan memberitahu budak tersebut, bahawa jika dia terus memukul gendang, bunyinya akan merosakkan gegendang telinga dan dia akan menjadi pekak. Hujahnya terlalu tinggi untuk si budak kerana dia bukan ahli sains mau pun seorang intelek.

Orang kedua datang dan memberitahu bahawa paluan gendang adalah sesuatu yang suci dan harus dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja. Orang ketiga memberi kapas penutup telinga kepada jiran-jiran; orang keempat memberi sebuah buku untuk dibaca oleh si budak; orang kelima mengajar si budak kaedah meditasi supaya si budak dapat mencapai ketenangan dan menjelaskan betapa realiti hanyalah imaginasi semata-mata.

Namun semuanya tidak berkesan sama sekali. Semua nasihat dan penyelesaian hanya berkesan buat seketika.

Akhirnya seorang yang biasa-biasa datang dan cuba MENTAKSIR keadaan. lalu... beliau memberikan si budak tadi sebuah tukul dan pahat lalu berkata, "Apakah agaknya yang ada DI DALAM gendang ini sehingga ia berbunyi terlalu kuat??

Apa-apa yang berlaku hari ini..kita harus bijak MENTAKSIR!!

Read more...

SELAMAT DATANG


RENUNGAN.....

Memuji bukan bermakna menyokong, mengkritik tidak bererti membenci. berilah pujian di depan umum dan berilah kritikan secara empat mata. Jangan mengecam mereka yang sudah berusaha tetapi gagal tapi kecamlah mereka yang gagal berusaha...

-Pepatah Tibet-

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP