Thursday, October 27, 2011

LELAKI TUA DENGAN BURUNG

Ada seorang lelaki tua yang hobinya memelihara burung. Pada suatu pagi, semua burung kesayangannya telah hilang. Merasa si pencuri sudah keterlaluan...lelaki tua itu pun membawa masalah ini di perjumpaan mingguan di kampungnya. Lelaki tua : "Siapa di sini yang ada burung?" Seluruh penduduk lelaki segera berdiri. Menyedari kesilapannya dalam cara bertanya...lelaki tua itu menambah.. "Bukan itu maksud saya".. Lalu diajukan soalan lain.. "Maksud saya adalah...siapa yang pernah lihat burung?".. Maka seluruh penduduk wanita berdiri. Kerana sekali lagi menyedari bahawa pertanyaannya masih tidak betul, maka dengan muka merah dia menyambung..."maaf, bukan itu maksud saya". Sekali dia bertanya..."maksud saya adalah...siapa yang pernah lihat burung yang bukan miliknya?" Separuh penduduk wanita berdiri. Muka lelaki tua makin merah, dan juga makin gugup, segera berkata lagi.... "maaf sekali lagi... bukan ke arah itu pertanyaan saya, maksud saya adalah...siapa yang pernah lihat burung saya?" Lalu....isteri lelaki tua itu pun berdiri.....

Read more...

Monday, October 24, 2011

Panggilan Pulau...

Di suatu petang...tepi jalan, dalam warung. Tiga orang. Satu misai tebal rambut kekuningan. Dua berseluar pendek baju setengah lusuh. Tiga umur lebih 60-an, kaca mata. Semua hitam. Orang pulau... Mereka bersembang..bercerita..satu demi satu, adakala silih ganti luahkan rasa..luahkan perasaan. Diiringi ketawa. Berdekah-dekah. Semuanya berkisarkan politik. Politik sekarang, politik yang lepas..politik masa depan. Sekali-sekali geleng-geleng..angguk-angguk...nada kesal, gembira.. Paling jelas mereka ini "tidak takut berumah di tepi pantai kerana mereka tidak takut dilambung ombak". Ini pula rupanya rintihan orang pulau...kekecewaan orang pulau dengan kepimpinan politik kampung...sehinggalah ke politik daerah..dan politik negeri. Ada disentuh sikit demi sedikit. Saya berpeluang bersembang dengan orang-orang pulau. Rupanya mereka sangat sedih dan kecewa..ibarat kaca jatuh terhempas ke batu. Sokongan mereka dengan mana-mana ahli politik dan kerajaan yang memerintah tak pernah padam. Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.. sokongan mereka terus berlanjutan. " Sudah ramai calon yang kami undi menang."..."ada yang jadi menteri, ada yang jadi pembantu menteri dan yang jadi ketua menteri pun ada". Mereka tidak pernah kisah bagaimana proses para yb itu menjadi menteri atau pun pembantu menteri. Mereka tidak peduli siapa yang melantik mereka menjadi menteri...tetapi yang mereka kisahkan..ialah bagaimana yb itu mengubah nasib dan meningkatkan taraf hidup sosio-ekonomi mereka yang berada nun jauh di pulau. Jauh di sudut hati mereka..akan adakah orang mereka...suku mereka...dari pulau yang bakal menjadi ahli yang berhormat untuk membantu mereka secara bersungguh-sungguh. Mungkinkah? hampir tiada kata seorang dari mereka...tetapi tidak mustahil.. Sekarang dalam kalangan mereka sudah ada yang berjaya dalam pendidikan, memegang jawatan-jawatan yang tinggi dalam jabatan-jabatan kerajaan dan negeri. Namun persoalannya sejauh mana mereka ini mampu membantu orang-orang pulau...untuk keluar dari kepompong kemiskinan ataupun sekurang-kurangnya menjadi hero pada masyarakatnya...seperti seorang 'Huguan Siou" bagi orang-orang Kadazan-Dusun. Ini mereka masih mencari siapa?? Apapun itu bukanlah isu yang sangat besar. Isu yang paling besar bagi mereka ialah apabila tokoh politik yang diundi dan menang dalam pilihanraya..kini hanya mendengar hanya satu suara dalam kalangan masyarakat mereka. Tidak mendengar suara dan kehendak majoriti. Itu isunya. Jika ini berlanjutan...hanya orang yang sangat rapat dengan yb sahaja yang mengaut keuntungan peribadi. Hancur! Akhir sekali isu kecil yang memalukan apabila berkunjung ke rumah seorang yb...mereka tidak dihidangkan secawan minuman pun!! Kami semua ketawa...ketawa! Sampai hati punya yb!!

Read more...

Monday, May 2, 2011

KALAULAH MAHATHIR MASIH PERDANA MENTERI....

Kalaulah Mahathir masih Perdana Menteri...
Sabah masih gilirkan Ketua Menteri
Musa Aman kempunan nak tambah lagi
UMNO Sabah menunggu lagi
Tidaklah mungkin SAPP lari

Kalaulah Mahathir masih Perdana menteri...
Mungkinkah Anifah merajuk lagi?
atau sekadar timbalan menteri
Atau Ghapur menjeling lagi..
kerana isu pengiliran ketua menteri

Kalaulah Mahathir masih Perdana menteri...
Mukhriz memang tak jumpa Khairy
kerana disekat ayahanda disayangi
Siapa Khairy belum tentu lagi
Kalaulah Mahathir masih Perdana menteri...

Kalaulah Mahathir masih Perdana Menteri...
Shahrir Samad tak dapat menteri
Muhd Taib membisu diri
Zahid Hamidi ternanti-nanti

Kalaulah Mahathir masih Perdana Menteri...
tentu PPSMI sesinar mentari
pasti GAPENA meradang sendiri
kononnya PPSMI membuta tuli
tinggal tunggu PRU datang lagi

Kalaulah Mahathir masih Perdana Menteri.....
Mana mungkin MCA berani
Apa lagi MIC, mesti memuji
Mungkin Anwar melawan lagi
Tapi belum tentu siapa yang gigit jari..
Nahh!! Kini kita jadi saksi..
Selangor, Perak dan juga Kedah
Pulau Pinang termasuk kelantan
Sudah jadi negeri PAKATAN!

Semuanya kerana Mahathir bukan Perdana Menteri lagi!!
Kalaulah Mahathir masih Perdana Menteri....

Read more...

Wednesday, April 6, 2011

'SEMIO' TAMU KOTA BELUD:..Mencari nilai tambah



Mengimbau sejarah Tamu mingguan atau ‘Semio’ di Kota Belud yang diadakan setiap hari minggu (ahad) , ianya telah melalui pelbagai rentetan sejarah suka duka dan pahit maung sepanjang jasanya kepada masyarakat Kota Belud yang yang dilingkungi oleh segenap lapisan rakyat dari pelbagai kaum dan etnik. Transformasi demi transformasi yang dilalui oleh ‘Semio’ ini sedikit sebanyak seakan menghakis ‘keasliannya’ yang pernah ditandai sebagai tempat bertemu, berdagang dan pusat pengembangan ekonomi rakyat yang unik secara tradisional oleh masyarakat sekitar Kota Belud.
Justeru, betapa perlunya ‘semio’ ini dijenamakan semula bukan setakat pengembangan ekonominya tetapi sebagai pusat pengembangan seni budaya pelbagai kaum demi mendukung perpaduan serta menterjemahkan konsep 1Malaysia. Melalui seni dan budaya. Pokok pangkalnya, sesuatu perlu dilakukan untuk meletakkan ‘semio’ sebagai pusat pengembangan budaya setempat selain daripada pusat pengembangan ekonomi masyarakat Kota belud.
Ini bermakna, sesuatu nilai tambah perlu dilakukan terhadap fungsi semio agar memberi sesuatu ‘pulangan’ berbeza pada masyarakat. Pada masa yang sama memberi keunikan semula kepada semio yang dikhuatiri terbenam nanti kemeriahannya di mata masyarakat Kota Belud yang pernah menyanjunginya, lebih-lebih lagi di mata para pelancong luar negeri mahupun mengunjung dalam negeri yang datang bertandang ke ‘semio’. Nilai tambah itu nanti akan menambahkan kemeriahan serta keunikan semio. Mari kita semarakkan seni di semio. Pelbagai cabang seni mampu kita ketengahkan. Meliputi seni budaya dari pelbagai kaum. Bajau, Dusun, Irranun, Ubian, Cina dan lain-lain.

Read more...

Sunday, December 12, 2010

Guru oh guru...

INFO: Antara beban tugas guru

1.Kekerapan guru keluar berkursus
2.Kokurikulum/sukan
3.Tugas hujung minggu
4.Tugas rencam
5.Tugas tidak jelas
6.Penempatan guru
7.Rantaian arahan (chain of command)
8.Ujian/peperiksaan
9.Silap padanan (mismatch)
10.Saiz kelas
11.Sebaran kurikulum.

INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru

1.Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
2.Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
3.Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
4.Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
5.Pelan Operasi Latihan Tahunan
6.Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
7.Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
8.Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
9.Pengenalan kurikulum secara atas talian
10.Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
11.Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di 12.sekolah menengah
13.Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
14.Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
15.Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
16.Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
17.Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
18.Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
19.Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
20.Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
21.Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.

Read more...

Tuesday, May 18, 2010

Sibu - Maruah Melayu dan bumiputera tergadai?

Ketika saya membaca berita kekalahan BN di Sibu. Kemenangan DAP. Mungkin ramai tidak menyangka. Mungkin! Secara spontan terpancul sesuatu dari kotak fikiran saya... Mungkin panculan dari ruang lingkup saya sebagai bukan ahli politik...tapi sebagai peminat politik! Sebagai peminat kepada bidang yang penuh misteri dan tipu helah ini, yakni bidang yang penuh dengan elemen kesenian berbahasa, kesenian berbicara, kesenian daya-pujuk, kesenian pemfitnahan...apa saja! pendirian saya dari dulu lagi bahawa politik sebenarnya menjangkaui segenap lapisan sempadan pemikiran dan perbuatan...politik ada di mana-mana!

Nah!! Saya semacam terpanggil menggariskan pandangan peribadi. Saya akan cuba siatkan nilai kebumiputeraan dan kepartian, sekurang-kurangnya saya juga akan sisihkan sentimen perkauman...yang membelenggu setiap inci sarat pemikiran kita sebagai umat manusia..di Malaysia. Bukan di Indonesia, bukan di Thailand, bukan di kemboja, bukan di mana-mana. Tapi di Malaysia.

Ekoran dari kekalahan BN di Sibu. Tundingan jari jemari yang berkenaan pantas menghala ke arah kelemahan jentera pilihanraya, keteringinan pengundi mencuba angin baru. Tusukan senjata dari pembangkang memang hebat! Tapi yang lagi hebat dan bergaya ialah keberanian para pengundi beralih arah...melunaskan penghormatan terhadap parti pemerintah...Politik itu sendiri telah pun mengkagumi pendirian para pengundi di bandar. Politik itu juga telah menyaksikan bahawa riak politik di bandar dan riak politik di desa tetap tidak sama. Dan politik itu jugalah yang membuat titik tanda untuk sebuah pengajaran dan sekelumit iktibar dari setiap kekalahan dan kemenangan.

Lihatlah...betapa melayu dan bumiputera sudah tidak punya masa untuk berhantukan sesama sendiri. Bercakaran hanya membenihkan fitnah dan mencipta rentak canggung tarian yg kian sumbang didendangkan. Di mana sudahnya kebobrokan melayu dan bumiputera? Semakin bangsa lain ligat memainkan duri-duri itu...semakin tinggi lagi indeks perpecahan itu.

Melayu dan bumiputera harus bersatu...Melayu sesama melayu mesti bersatu. bumiputera dan sesama bumiputera yang lain mesti berada di atas satu saf...selagi akta itu ada terkandung dalam Perlembagaan. Kita masih punya banyak masa melakukannya. Tidak kiralah penyatuan dalam apa saja pun. Politik cuma satu idea. Tapi rangsangan mungkin tidak kuat di situ. Kerana kita masih terlalu berbasah basi dengan ideologi mandiri. Masih bermadah-helah dengan kesakitan dan keseronokan. Terlalu bersopan dengan pendirian. Mungkinkah rangsangan akan menunjang bila anak cucu cicit kita sudah tergadai maruahnya. Di situ barulah...sayang sudah terlambat!!!

Read more...

Monday, November 16, 2009

KECANTIKAN SEORANG WANITA......

Di mana cantiknya seorang wanita?...pada matanya yang hening? Jelingannya yang manja? Atau pada bibirnya yang mungil? Menyerlahkan senyuman manis? Boleh jadi pada dahinya yang licin? Atau juga sekali sekala pada batang tubuhnya? Atau pun pada hilai tawanya yang gemersik? dan suara manjanya yang boleh melembutkan, sekaligus menghangatkan perasaan?..Aduhai wanita, gadis dan perempuan...

Di mana sebenarnya kecantikan seorang wanita? Di manakah letaknya keindahan seorang wanita itu?..Sebenarnya, sejuta perkataan pun belum cukup untuk menceritakan kecantikan seorang wanita, 1000 gurindam pun belum tentu lengkap untuk mengambarkan keistimewaan kaum Hawa. Segala-galanya tentang tubuh seorang wanita adalah keindahan. Termasuklah mata, bibir, hidung, telinga, rambut, pipi, leher, dada, pinggang, pusat dan punggung...pendek kata sekujur tubuh wanita, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah keindahan. keindahan!

Sayangnya...kecantikan itu ada ketikanya tidak dilihat dari sudut seni. Tubuh wanita dilihat sebagai rangsangan untuk naluri semulajadi manusia-seks! Ego lelaki telah mengekplotasi segalanya pada tubuh seorang wanita..mengheret orentasi kelam terhadap wanita yang dikatakan lemah. Menjunamkan cahaya terang ke lembah paling dalam!...mengambil kesempatan!

Wanita memang spesis yang cantik. Langkahnya yang longlai, hayunan tangan, lenggang lenggok punggungnya boleh mendebarkan. Tidak hairanlah wanita sanggup berbelanja dan melakukan apa sahaja demi kelihatan cantik dan menarik. Berdiet, berjoging, ke pusat aerobik, senaman, menghadiri kelas penjagaan tubuh, ke Salon-salon kecantikan, mengambil jamu, tablet, makjun, urutan tradisional...semuanya kerana ingin kelihatan cantik. Ringkasnya, wanita sanggup berbelanja puluhan ribu untuk tujuan pembedahan plastik, botox, susuk dan macam-macam lagi.

Tetapi sayang sekali..mustahil untuk tubuh sentiasa montok dan menawan..mustahil! Semuanya bersifat sementara. Tidak kekal. Hanya menunggu masa untuk hilang. betapa pun dijaga, dipelihara...tiba masanya kulit akan berkedut, bibir akan kecut, mata akan kabur dan pipi bakal jadi kerepot!

Benarlah tidak ada yang kekal bagi seorang manusia. Kecantikan tubuh akan musnah ditelan masa...dimamah usia. Hanya satu yang tidak dimamah usia dan akan kekal selamanya iaitu SOPAN SANTUN DAN BUDI BAHASA...itulah kecantikan yang sebenarnya.......

Read more...

SELAMAT DATANG


RENUNGAN.....

Memuji bukan bermakna menyokong, mengkritik tidak bererti membenci. berilah pujian di depan umum dan berilah kritikan secara empat mata. Jangan mengecam mereka yang sudah berusaha tetapi gagal tapi kecamlah mereka yang gagal berusaha...

-Pepatah Tibet-

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP