Secara prinsipnya di ‘atas kertas’ hampir 100% orang Sabah bersetuju agar tuntutan hak-hak Sabah diberi komitmen tinggi untuk diambil perhatian oleh parti pemerintah dan kerajaan. Terasa khianat dan belot kita sebagai anak jati Sabah jika idea-idea sebegini ‘dibakulsampahkan’.
Pelbagai macam dan cara untuk kita memperjuangkan hak-hak Sabah. Kebudayaan, sukan, sosial, ekonomi, pelancongan, perjawatan, perindustrian, infrastruktur, pendidikan dan lain-lain. Politik salah satu. Namun perlu ada keseimbangan, kejujuran dan ketelusan yang tersendiri serta terancang dalam membawa perkara ini demi menjagai dan memelihara keharmonian kaum secara keseluruhannya di Sabah mahupun di Malaysia. Persoalannya sejauh mana kita mendasari serta menyelami kejujuran dan ketelusan itu demi hak kita? Mungkinkah tuntutan kita itu bermaruah atau ber-rebah?
Saya melihat bahawa tuntutan hak-hak Sabah harus diolah secara berpada, beradab, berhemah dan bersantun. Kerana inilah konsep kebersamaan kita yang mendukung aspirasi prinsip Rukun Negara. Prinsip yang terbukti telah memberi ruang untuk semua kaum bumiputera di Sabah yang terdiri dari puluhan etnik yang terlalu kompleks sifatnya untuk saling merasai nikmatnya perpaduan dan pembangunan seiring dengan semua kaum dan agama. Bukankah kita sekarang berada di bawah satu bumbung? Malaysia.
Dalam situasi semasa politik sekarang, pelbagai pihak telah mengalunkan rentak dan nada. Sama ada sumbang atau tidak, yang nyata ada pihak mengambil kesempatan dan peluang demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Persoalannya, adalah sangat besar impak dan persepsi undang-undang yang bakal terpancar dari kerakusan kita menuntut hak-hak Sabah. Pada masa yang sama peluang mengambil kesempatan untuk 'dicemari' ataupun ‘dicemaskan’ situasi politik dalam negara bakal dihidu oleh pihak-pihak yang tidak sebulu dengan pihak yang lain. Atas dasar perebutan kuasa. Kuasa politik! Bukan saja anasir dari dalam malahan anasir luar bakal menjenguk tingkap perpaduan yang nampak kian terngangga. Pasti ada yang meneguk di air yang keruh. Siapa yang bakal kita salahkan bila pihak-pihak asing sudah berani menjentik hak kedaulatan negara kita?
Justeru kita perlu melihat bahawa tuntutan hak-hak Sabah haruslah disiagakan dalam bentuk yang lebih telus dan sangat ikhlas, bukan teka-teki…dikupas sebijaknya. Biarlah pihak-pihak yang bijaksana dan tinggi tahap integritinya membawa perkara ini demi menjamin keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia tanpa menyelitkan keegoan idealogi politik masing-masing. Apa lagi yang berkepentingan peribadi…menjana minda orang lainnya ke arah kesungkuran nilai dan moralnya.
Sanggupkah kita melihat perpaduan kaum di sabah dan di tempat lain yang kita jalin atas nama negara Malaysia tercalar hanya kerana polemik tuntutan hak Sabah? Atau mungkinkah kita yang tersepit di tengah-tengah kekalutan perebutan kuasa politik antara beberapa pihak? Ternyata tuntutan yang melibatkan hak-hak kenegerian adalah bahana politik yang sangat merbahaya sifatnya. Sungguhpun demikian bukanlah bermakna bahawa tuntutan hak-hak Sabah tidak perlu mendapat tempat di hati rakyat Sabah. Ianya tetap benteng memelihara hak Sabah. Namun pada masa yang sama ia juga merupakan set pemelihara keharmonian kaum dan perpaduan, semangat satu nusa, satu bangsa, satu negara, satu Malaysia dan satu bahasa. Cuma kita pinta tuntutan hak-hak Sabah bukanlah satu-satunya perkara mutlak yang perlu Sabah perjuangkan semata-mata. Lebih jauh dari itu kita perlukan kestabilan, keharmonian dan keseimbangan dalam setiap inci pertelingkahan atau perselisihan kita. Supaya kita senegara aman dan makmur sejahtera sentosa.
Salam hormat,
TudungDuang
Read more...