Saturday, April 21, 2012

RAKYAT, POLITIK DAN MALAYSIA

Wahai  bumi…Di suatu rimba buana… ada akar dari sebatang pohon. Akar itu melebar dan pohonnya menunjang ke atas.. merendang meneduhkan. Unggas-unggas yang tertawan…datang singgah sambil bersiul-siul. Meriang berkicau. Ada keakraban antara unggas-unggas dan pohon rendang itu. Mesranya akar dan bumi.
Pohon akan tegap berdiri.

Akar yang menujah bumi dan akan menjulang pohon untuk terus boleh bertahan selama mampu yang boleh. Pohon takkan hidup tanpa akar. Akar pula takkan kejap tanpa bumi. Sekuat mana badai meredah. Sekejam mana petaka menimpa. Bumi, akar dan pohon takkan goyah. Kerana tugas menjulang ketamadunan negara berada di bahu semuanya. Ada keakraban antara akar, bumi dan pohon itu.

Pohon ini murni sifatnya. Meski akarnya menjalar merebak  ke mana-mana…hanya bumi yang ada menyaksikannya. Semurni manapun sifatnya….ini pohon pastikan merimbun dan merendang untuk semua. Sejauh manapun akarnya menjalar namun hanya bumilah tempatnya. Teramat agung untungnya jika bersatu memayungi semua. Sewajarnya daun, pucuk dan dahan akan selalu menikmati keunggulannya. Pasti ranum buahnya…

Inilah pohon Malaysia. Akarnya politik buminya rakyat.

Kini…jika akan datang badai ‘suara’ melanda. Akan hadir ‘jurus’ menerpa. Di mana kita sembunyi?

Read more...

Friday, April 13, 2012

TUNTUTAN HAK-HAK SABAH : ANTARA KEPENTINGAN POLITIK, PERPADUAN KAUM DAN KEDAULATAN NEGARA

Secara prinsipnya di ‘atas kertas’ hampir 100% orang Sabah bersetuju agar tuntutan hak-hak Sabah diberi komitmen tinggi untuk diambil perhatian oleh parti pemerintah dan kerajaan. Terasa khianat dan belot kita sebagai anak jati Sabah jika idea-idea sebegini ‘dibakulsampahkan’.

Pelbagai macam dan cara untuk kita memperjuangkan hak-hak Sabah. Kebudayaan, sukan, sosial, ekonomi, pelancongan, perjawatan, perindustrian, infrastruktur, pendidikan dan lain-lain. Politik salah satu. Namun perlu ada keseimbangan, kejujuran dan ketelusan yang tersendiri serta terancang dalam membawa perkara ini demi menjagai dan memelihara keharmonian kaum secara keseluruhannya di Sabah mahupun di Malaysia. Persoalannya sejauh mana kita mendasari serta menyelami kejujuran dan ketelusan itu demi hak kita? Mungkinkah tuntutan kita itu bermaruah atau ber-rebah?

Saya melihat bahawa tuntutan hak-hak Sabah harus diolah secara berpada, beradab, berhemah dan bersantun. Kerana inilah konsep kebersamaan kita yang mendukung aspirasi prinsip Rukun Negara. Prinsip yang terbukti telah memberi ruang untuk semua kaum bumiputera di Sabah yang terdiri dari puluhan etnik yang terlalu kompleks sifatnya untuk saling merasai nikmatnya perpaduan dan pembangunan seiring dengan semua kaum dan agama. Bukankah kita sekarang berada di bawah satu bumbung? Malaysia.

Dalam situasi semasa politik sekarang, pelbagai pihak telah mengalunkan rentak dan nada. Sama ada sumbang atau tidak, yang nyata ada pihak mengambil kesempatan dan peluang demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Persoalannya, adalah sangat besar impak dan persepsi undang-undang yang bakal terpancar dari kerakusan kita menuntut hak-hak Sabah. Pada masa yang sama peluang mengambil kesempatan untuk 'dicemari' ataupun ‘dicemaskan’ situasi politik dalam negara bakal dihidu oleh pihak-pihak yang tidak sebulu dengan pihak yang lain. Atas dasar perebutan kuasa. Kuasa politik! Bukan saja anasir dari dalam malahan anasir luar bakal menjenguk tingkap perpaduan yang nampak kian terngangga. Pasti ada yang meneguk di air yang keruh. Siapa yang bakal kita salahkan bila pihak-pihak asing sudah berani menjentik hak kedaulatan negara kita?

Justeru kita perlu melihat bahawa tuntutan hak-hak Sabah haruslah disiagakan dalam bentuk yang lebih telus dan sangat ikhlas, bukan teka-teki…dikupas sebijaknya. Biarlah pihak-pihak yang bijaksana dan tinggi tahap integritinya membawa perkara ini demi menjamin keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia tanpa menyelitkan keegoan idealogi politik masing-masing. Apa lagi yang berkepentingan peribadi…menjana minda orang lainnya ke arah kesungkuran nilai dan moralnya.

Sanggupkah kita melihat perpaduan kaum di sabah dan di tempat lain yang kita jalin atas nama negara Malaysia tercalar hanya kerana polemik tuntutan hak Sabah? Atau mungkinkah kita yang tersepit di tengah-tengah kekalutan perebutan kuasa politik antara beberapa pihak? Ternyata tuntutan yang melibatkan hak-hak kenegerian adalah bahana politik yang sangat merbahaya sifatnya. Sungguhpun demikian bukanlah bermakna bahawa tuntutan hak-hak Sabah tidak perlu mendapat tempat di hati rakyat Sabah. Ianya tetap benteng memelihara hak Sabah. Namun pada masa yang sama ia juga merupakan set pemelihara keharmonian kaum dan perpaduan, semangat satu nusa, satu bangsa, satu negara, satu Malaysia dan satu bahasa. Cuma kita pinta tuntutan hak-hak Sabah bukanlah satu-satunya perkara mutlak yang perlu Sabah perjuangkan semata-mata. Lebih jauh dari itu kita perlukan kestabilan, keharmonian dan keseimbangan dalam setiap inci pertelingkahan atau perselisihan kita. Supaya kita senegara aman dan makmur sejahtera sentosa.

Salam hormat,
TudungDuang

Read more...

Sunday, April 1, 2012

“KAPAL TIDAK AKAN TENGGELAM”












Dia seorang wanita yang biasa-biasa, seorang yang berkerjaya…seorang penulis… Dia seorang janda yang telah mengalami pelbagai rintangan dan penderitaan sepanjang menjalani proses kehidupannya sebagai seorang janda. Sudah terlalu banyak tragedi yang sangat sudi menghampirinya. Tidak kurang juga tragedi yang sekadar menjenguk… Namun ia sering tersenyum dan  penuh wibawa. Ketenteraman serta ketenangan selalu saja dapat menyelimutinya dirinya. Hatinya…
Sesiapa saja yang menemui dan bertanya padanya akan teruja dan mengagumi  keberaniannya. Bagaimana insan sepertinya selalu mampu tersenyum dalam menghadapi kegundahan dan kekacauan hidupnya? Apa rahsia kedamaiannya jiwanya?
Bagi mereka yang kagum dan menghargainya akan selalu bertanya. Segala pertanyaan-pertanyaan yang kerap mendampinginya akan dijawabnya dengan jawaban..”Seluruh air di lautan tidak akan mampu membuat sebuah kapal tenggelam”…”Tetapi jika air masuk ke dalam kapal, kapal segera tenggelam tanpa jejak”
Demikianlah pula dengan kesedihan. Kesedihan tidak mampu menenggelamkan kamu jika kamu tidak akan membiarkannya masuk ke dalam dirimu.
Benarlah bahawa kita akan dapat belayar dengan aman di sebuah lautan luas dengan syarat tidak membiarkan kesedihan dan masalah masuk ke dalam diri kita. Jika kita membiarkan air masuk dan masalah masuk maka kita akan berhadapan dengan kapal yang bakal tenggelam.

Read more...

SELAMAT DATANG


RENUNGAN.....

Memuji bukan bermakna menyokong, mengkritik tidak bererti membenci. berilah pujian di depan umum dan berilah kritikan secara empat mata. Jangan mengecam mereka yang sudah berusaha tetapi gagal tapi kecamlah mereka yang gagal berusaha...

-Pepatah Tibet-

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP