Friday, February 17, 2012

PERLUMBAAN ARNAB DAN KURA-KURA : MORAL YANG TERSIRAT

Diceritakan bagaimana kisah perlumbaan antara Arnab dan Kura-kura. Semata-mata, ini adalah kerana mereka ingin beradu kekuatan masing-masing. mampukah kura-kura mengalahkan si arnab? Atau mampukah pula si arnab itu mengalahkan kura-kura itu?

Di akhir cerita...si arnab yang sombong itu kalah dalam perlumbaan tersebut. Begitu si Arnab leka dan terlena bersandar pada sebatang pokok..si kura-kura yang sabar akhirnya telah berjaya terlebih dahulu ke garisan penamat. Kura-kura itu menjadi juara.

Moral dari cerita ini..bagaimana kita sebagai manusia perlu bersabar menghadapi kehidupan dalam sepanjang perjalanan. Keduanya..usahlah kita terlalu sombong dengan kekuatan dan kelebihan yang ada. Rupanya kelebihan dan kekuatan kita akan memudaratkan kita sendiri.

 Itulah versi cerita yang sejak azali kita fahami perjalanannya. Namun akhir-akhir ini, saya mendapati ada yang lebih menarik rentetan dari cerita ini. Ianya berkisarkan sedikit lanjutan dari cerita tersebut. Saya fikir ini menarik untuk kita fahami bersama. Kerana saya fikir antara kekuatan, kelemahan, kesabaran dan kesombongan...masih ada hikmahnya. Oleh kerana kekecewaan yang teramat sangat dirasai oleh si arnab lantaran kekalahannya pada kura-kura, si arnab pun atas nama kekesalan dan kesedaran, akhirnya arnab melakukan beberapa penganalisaan penyebab kepada kekalahannya. Si arnab menyedari betapa penyebab utama kekalahannya ialah sikap terlalu yakin, lalai dan meremeh, memperlekeh serta mempersendakan keupayaan si kura-kura. Jika bukan kerana semua itu, sudah tentu mustahil kura-kura dapat mengalahkannya. Begitu rumusan serta keputusan analisa oleh si arnab.

Kali ini pertandingan perlumbaan antara arnab dan kura-kura diadakan semula. Perlumbaan kali ini menyaksikan si arnab memenangi perlumbaan tersebut dengan meninggalkan si kura-kura jauh di belakang. Bukan kah semua ini kerana atas dasar kesedaran dan perubahan sikap yang dilakukan oleh si arnab?.. dan moral dari lanjutan cerita ini ialah bahawa kepantasan dan keyakinan akan selalu dapat mengalahkan yang perlahan dan lambat. Siapa cepat dia dapat. Kehidupan manusia yang pantas dan yakin akan sentiasa berjaya dalam kehidupan dan kerjaya berbanding dengan mereka yang lambat dan perlahan walaupun yakin. Lihat saja kehidupan masyarakat di negara-negara maju. Lihat saja kejayaan individu-individu pekerja korporat dalam pelbagai bidang. Sama ada melibatkan penciptaan-penciptaan peralatan yang terkini dan penemuan-penemuan hasil pengkajian dan penyelidikan. Hakikatnya mereka sering terlibat dalam 'perlumbaan'. Memang tidak rugi menjadi penyabar, yakin tapi perlahan, tetapi lebih untung jika menjadi pantas, yakin dan percaya.

Direntetkan lagi cerita tersebut. Rupanya si kura-kura pula berfikir dan menganalisa faktor kekalahannya pada arnab. Si kura-kura walaupun menyedari akan dirinya yang tidak mampu mengalahkan arnab, namun kura-kura kini berusaha pula memikirkan penyebab utama kekalahannya. Setelah menganalisis situasi serta potensi yang ada padanya..kura-kura mengambil keputusan mencabar arnab semula.

Kali ini dalam rutin dan disiplin perlumbaan yang berbeza. Perlumbaan seterusnya kali ini menyaksikan si arnab begitu komited untuk memenangi perlumbaan sehingga berlari dengan pantas, yakin dan berusaha. Sehinggalah sampai di sebuah sungai. Dengan baki jarak perlumbaan yang hanya tinggal 100 meter, si arnab terduduk memikirkan bagaimana dirinya mampu menyeberangi sungai tersebut. Dalam kelewatan berfikir yang panjang tanpa disedari kura-kura yang sampai di tepi sungai telah berenang melalui sungai untuk sampai ke seberang dan akhirnya berjaya sampai ke garisan penamat dengan meninggalkan arnab di belakang tanpa dapat menyeberangi sungai tersebut. Moral dari lanjutan cerita tersebut ialah dalam kehidupan kita..kenali potensi diri atau kelebihan yang ada pada kita untuk berjaya dalam hidup. Bahawa kita manusia masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Perhati dan cari kelebihan yang ada…gunakan kelebihan dan potensi yang ada untuk berjaya dalam hidup. Jika anda seorang pemidato yang baik maka gunakanlah bakat itu Jika anda pandai menyanyi, mencipta lagu, menulis lirik…mengapa mesti anda berada di lautan?. Jika anda seorang yang bijak dalam kemahiran-kemahiran tertentu maka anda harus menggunakannya. Jika kekuatan anda dalam bidang pengurusan..maka anda harus berada di situ. Perlu bijak menggunakan kesempatan melalui kelebihan dan kemahiran atau pun potensi diri yang pada diri anda. Bukan begitu? Hakikatnya jika sentiasa berada dalam bidang yang kita minati dan bersesuaian dengan keadaan kita maka orang lain akan sering menghargai kita.

Cerita ini masih belum berakhir begitu saja. Masih ada lagi bakinya. Tetapi akan saya sambung, garap dan gali pada kesempatan yang akan datang. Sampai jumpa lagi…

0 comments:

SELAMAT DATANG


RENUNGAN.....

Memuji bukan bermakna menyokong, mengkritik tidak bererti membenci. berilah pujian di depan umum dan berilah kritikan secara empat mata. Jangan mengecam mereka yang sudah berusaha tetapi gagal tapi kecamlah mereka yang gagal berusaha...

-Pepatah Tibet-

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP