Monday, September 28, 2009

KINTALO, TELUR EMAS DAN HARI RAYA

Kintalo miskin bersua gergasi ikhlas
Dia dihadiahi ayam bertelur emas
gergasi dengan ikhlas berpesan...
"Ingat cu, sebulan hanya sekali"...
Kintalo pulang membawa ayam...
Sebagai hadiah di hari raya...

Sepuluh ribu harga telur emas itu..
Sekali Kintalo dipengaruhi kemewahan...
Dibeli segala yang mahal...
Lantai baldu, telivsyen baru...
Kereta modal terbaru...
Set sofa rekaan terkini..
Semata-mata menyambut hari raya
Dia berhutang beribu-ribu ringgit...

Bulan depan datang wakil syarikat
Segala hutang akan dibayar sebagaimana syarat..
Kintalo cemas lalu pergi mendapat ayamnya...
"Cepatlah!...bertelurlah lebih dari satu!..."
"Tidak cukup telur yang sebiji itu!.."
Ayam selamba...terus bertelur...
Sebulan sebiji...

Kintalo akhirnya menyembelih ayam
Apa yang ada di dalam? penuh taik ayam!
Akhirnya telur emas tiada lagi..
Kintalo teringat pesan gergasi
lalu pergi mendapatkan ehsan sekali lagi...

Gergasi dengan ikhlas juga berkata...
"Ingat cu, jagailah telurmu yang sebijik itu.."
"Selamat Hari Raya.."

Read more...

Saturday, September 19, 2009



ASALAMUALAIKUM W.B.T....

SEMPENA MENYAMBUT 1 SYAWAL YANG MULIA INI SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SEMOGA HUBUNGAN PERSAUDARAAN AKAN TERUS TERJALIN ERAT DAN KEKAL HINGGA KE AKHIR HAYAT.

Daripada :
Jack Zainorain Makbul dan keluarga
Kota Belud, Sabah.

Read more...

Wednesday, September 16, 2009

SUKARNYA MENCARI PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN KB...


Mau cerita sikit..

Sekitar pertengahan bulan Mac 2009, saya duduk bersebelahan dengan SSK di restoran KB Delight kerana ada perkara yang dibincangkan (Selain mohon sponsor,jemputan untuk SSK membentangkan kertas kerja dalam seminar Bahasa (anjuran BAHASA) di Kota Kinabalu suatu waktu dulu...

Kesempatan itu saya ajukan soalan kepada SSK.."Datuk, ngini datuk nyak lagi ngelantik dua orang dalam ajk bahagian? spontan SSK menjawab.."tiada yang layak! Pian?"

Saya dan yang lain duduk semeja melopong! Sebelum itu SSK menceritakan bagaimana Umno bahagian perlu berubah! cawangan2 Umno juga perlu berubah! Dari ahli biasa sehingga pemimpin biasa, hingga pemimpin pusat perlu berubah!..jangan bongkak! sombong!..jadi pemimpin jangan 'Tahu Semua'..

katanya lagi dia(SSK) tidak akan hadir ke sesuatu majlis atau program jika penganjur memohon sponsor dari beliau semata-mata untuk dia hadir merasmikan majlis tersebut...Saya dan rakan-rakan lain yang semeja hanya mendengar..

"Ngini datuk?"..tanya seorang rakan.. SSK menjawab.."Kenapa perlu saya sponsor kemudian saya datang dan rasmi?.."Kenapa tidak ahli cawangan berkorban sedikit wang kumpul-kumpul dan guna untuk anjur program atau majlis?.."itu saya akan datang." "Kita ubah mentaliti kita supaya berkorban demi parti atau pun demi majlis/program-program kemasyarakatan dan sosial. Dengan demikian semua merasa kepentingan dan keperluan program-program tersebut"..."Itu lah lumrahnya kita di kampung-kampung jika ingin menganjurkan pelbagai majlis di kampung...mesti juga minta sponsor dari pemimpin..lepas tu jemput pemimpin tadi sebagai perasmi"...

Apa yang ingin saya sampaikan ialah, dua perkara tadi. 1. Tiada yang layak untuk dilantik menjadi ajk bahagian dan 2. Kenapa tidak pihak penganjur majlis/program menggunakan bajet sendiri untuk menjemput pemimpin atau YB merasmikan majlis..

Dapatkah kita rasakan 'kesukaran' SSK mencari individu yang layak dilantik sebagai salah seorang ajk bahagian Kota Belud?..Atau pun ia sesukar kita mengumpul bajet sendiri untuk menganjurkan sesuatu majlis atau program? Sama-sama kita fikirkan..

Read more...

Monday, September 14, 2009

PINDAAN STRUKTUR PEMILIHAN : BERUBAHKAH UMNO?


Bertitik tolak dari keputusan PRU12 yang lalu yang menyaksikan Gelombang Biru terkapai-kapai dilambung 'Tsunami' politik hasil canangan rakyat yang dikatakan dahagakan perubahan, maka satu demi satu kenyataan dari para pemimpin UMNO yang mahukan satu bentuk perubahan harus dilakukan dalam Umno..Sehinggalah Tun Abdullah akhirnya menyerahkan teraju kepimpinan kepada Najib walaupun belum mencapai 'pra matang' pelan peralihan kuasa yang dipersetujui.

Dan dalam tempoh kepimpinan 100 hari Najib menaiki singgahsana Perdana Menteri dan Presiden Umno, belum ada perubahan ketara yang dilakukan melainkan slogan dan harapan, selebihnya janji untuk Umno perlu berubah. Berubah untuk memenangi hati rakyat, berubah untuk mengembalikan kepercayaan lebih 3.4 juta ahli Umno seluruh negara.

Demikian juga rentetan skrip demi skrip kekalahan Umno dalam beberapa siri PRK yang diadakan di beberapa kawasan, maka Umno terus melaungkan perubahan. Perlunya Umno berubah! Umno mesti berubah! Untuk kesinambungan survival politik Umno, demi kelangsungan dan ketuanan politik Melayu, demi meneruskan citra keunggulan politik bumiputera dan rumpun Melayu!

Persoalannya..perubahan dan berubah yang bagaimana? Yang mana satu perlu diubah? Yang hujungnya yang pangkalnya? Yang di atasnya kah? Yang di bawahnya kah? Perlu kah Umno merubah segala-galanya? Imej, stail, sikap, sifat, perwatakan, cara bercakap, cara berjalan, cara berpakaian, atau...perubahan yang bagaimana?

Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno Pusat dikhabarkan akan mengemukakan dua cadangan perubahan umtuk pindaan iaitu:

i) Pemilihan MT dan Jawatankuasa Bahagian dilakukan pada peringkat cawangan iaitu oleh ahli yang telah menjelaskan yuran � maknanya satu ahli satu undi dan ini akan membabitkan kira-kira 3.4 juta ahli Umno; dan

ii) Pemilihan MT dan Jawatankuasa Bahagian dilakukan oleh perwakilan cawangan yang dipilih ke mesyuarat perwakilan bahagian � ini bermakna proses pemilihan dibuat kira-kira 650,000 ahli.

...Inilah antara cadangan perubahan dalam bentuk pindaan struktur pemilihan pemimpin
Umno. Tepuk dada tanya tanya minda.

Justeru, sejauh manakah perubahan ini mampu mengembalikan kegemilangan Umno untuk terus menjadi wadah dan teras memperjuangkan orang Melayu dan rumpun Melayu di bumi malaysia ini?

Kita tunggu dan lihat...

Read more...

Wednesday, September 9, 2009

RAMADAN DAN NOMBOR

Hai...Assalamualaikum! Salam Siber..Salam Ramadan..

Hari ini pada jam 12.34 tengah hari tadi saya mendapat sms rakan yang berbunyi "Hari-hari kita yang sibuk".."selamat menyambut tarikh 09/09/09/"..Saya senyum-senyum dalam hati..sambil memikirkan sesuatu mengenai sms rakan tadi. Dalam hati nanti saya reply. Walau bagaimana pun saya masih tercari-cari apa yang menarik untuk mengaitkan sesuatu dengan 09/09/09. Sambil menikmati puasa sepanjang hari..melihat sekeliling..melihat perjalanan manusia dan kehidupan..manusia dan karenah kesibukan..manusia dan alam yang terbentang..juga melihat jauh dari dalam diri..betapa banyak lagi untuk kita manusia memperbaiki segala kepincangan dan kelemahan kita yang ada.

Dengan rehat yang seketika sementara menunggu pula nikmat berbuka puasa maka saya lontarkan persoalan untuk kita sesama manusia. Betapa kita sebagai manusia perlu sering berubah dari semasa ke semasa. Berubah dari dari kurang baik kepada baik. Berubah dari baik kepada lebih baik. Berubah cara fikirnya..berubah cara geraknya..berubah untuk mendapat kedudukan, keselesaan untuk sama-sama manusia lainnya berhadapan dengan cabaran demi cabaran hidup yang mendepani. Saya teringat ungkapan seorang ahli falsafah barat, Norman vincent Piele..katanya "Ubahlah fikiran-fikiran anda, maka anda akan mengubah dunia anda" demikian juga kata Tun mahathir suatu ketika dulu ketika melancarkan slogan MALAYSIA BOLEH.."Untuk menjadi seorang pemenang,anda mestilah pertama-tama berfikir sebagai pemenang".Kenapa saya seretkan persoalan-persoalan ini? Kerana kita manusia perlu berubah..aliran hidup kita harus diulit oleh nadi-nadi perubahan yang mendorong ke arah kejayaan...Kunci kepada semua ini ialah ubah cara berfikir kita!

Berbalik pada kisah sms tadi. sepuluh minit sebelum berbuka puasa saya menerima pula sms seorang rakan lain lagi. "Today is unique date,-its 09/09/09. Have a nice day"..demikian bunyi sms tersebut. Saya berfikir dan mencari lagi suatu perkaitan yang boleh disabitkan. Selesai berbuka..kotak minda saya terus lagi berfikir... saya Berfikir apa istimewanya tarikh 09/09/09?...Akhirnya saya terfikir, bagi yang fanatik dan familiar dengan 'nombor' pasti tidak melepaskan peluang 'mencuba nombor '0909'..Baru petang tadi saya 'melimpasi' sebuah kedai 'nombor'..begitu ramai manusia yang mencuba nasib di situ..Akhirnya saya berfikir kenapa masih ada dalam kalangan kita manusia-manusia yang tidak mahu berfikir untuk berubah! Terutama dalam bulan ramadan yang mulia ini..Khabarnya nombor '0909'..sold out! Unik kan...SELAMAT BERFIKIR!

Read more...

Monday, September 7, 2009

PEMIMPIN DAN KEPERIBADIAN

Bukan mudah menjadi pemimpin (dalam konteks pemimpin masyarakat, politik mahupun dalam sesebuah organisasi) Yang diangkat, yang diutamakan, yang diharapkan, yang perhatikan...istilah yang boleh digunapakai pada masa kini ialah "yang dikritik, yang ditegur...

Menjadi pemimpin sejati dan terpuji juga tidak mudah ;
Bercakap lurus berkata benar
pantang sekali berlaku kasar
Ramah kepada kawan dan lawan
dada lapang fikiran panjang

Pemimpin perlu sabar, tabah, tawakal, tahan ;
Tahan berhujan, tahan berpanas
Tahan berhujah, tahan berkata
Tahan susah berpenat lelah
Tahan mati berkalang tanah

Pemimpin perlu bijak ;
Bijak membuka simpul mati
Bijak memberi kata putus
Bijak melangkah dalam onak
Bijak menimbang sama berat

Pemimpin juga berbudi-pekerti ;
Berkuasa tidak memaksa
Berpangkat tidak menghambat
Bertaring tidak mengigit
Berkuku tidak mencakar

Pemimpin perlu berkorban ;
Berkorban wang beruntung rugi
Berkorban penat menegak adat
Berkorban dipijak membela yang hak
Berkorban binasa membela bangsa

Seorang pemimpin juga perlu setia dan taat ;
Taat dan takwa kepada Allah
Taat kepada janji dan sumpah
Taat memegang petua amanah
taat membela negeri dan rakyatnya

Read more...

Friday, September 4, 2009

Projek 3.4 bilion vs projek 10 ribu

Akhirnya kapal selam sulung negara tiba di jeti KD Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah. Kapal selam jenis Scorpene ini dikatakan mampu melakukan selaman sedalam 100 m dan 200 m ke dalam laut. Kapal selam yang bernilai 3.4 bilion ini telah pun di uji kehebatannya dengan menyelam dan belayar merentasi lautan sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis melepasi pelabuhan Jeddah, Djibouti, Somalia dan Cochin, India dalam tempoh 54 hari.

Betapa bangganya kita setelah negara merdeka 52 tahun baru inilah kita mendapat kapal selam kepunyaan sendiri. saya selaku rakyat malaysia tumpang berbangga dengan kejayaan ini.

Menurut faktanya, Scorpene adalah kapal selam jenis tempur konvensional dan mampu menampung hingga 50 anak kapal selaku crew di dalamnya.. akan beroperasi sepenuhnya di kawasan-kawasan strategik bermula pada 17 september ini. Kini tiada kegusaran lagi untuk kita mengkhuatiri pembolosan warga-warga asing ataupun pencerobohan sempadan laut oleh anasir-anasir yang menggugat keselamatan negara.

Maka timbullah telahan-telahan, andaian-andaian, conggakkan-conggakan dari politikus-politikus usang yang menyarangi kepala mereka... Siapa yang dapat tender menender untuk sebuah kapal selam ini..berapa untung mereka? siapa dapat?..teringat saya ketika waktu dulu bagaimana pihak Kementerian pertahanan ketika era pemerintahan Pak lah membatalkan pembelian helikopter dulu..

Persoalannya kenapa masih ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pembelian kapal selam ini dari pelbagai sudut pandangan..Akhirnya saya sedar jika kes 3.4 bilion menjadi pertikaian apa lagi kes projek-projek di kampung-kampung sekitar 5 hingga 10 ribu projek memajukan kampung-kampung.

Tuduh-menuduh, iri-hati, tamak, dendam bersarang di kepala manusia yang masing-masing mahukan projek. Jika tidak dapat, orang lain yang dapat, pelbagai alasan dicari untuk menggagalkan projek..pengaruhi orang itu-ini! buat jalan raya contohnya..dibantah. tidak ikut spesifikasilah, minta pampasanlah, tanah rosaklah. demikian juga pembinaan atau baik pulih balairaya atau masjid. Juga timbul!.."sepatutnya si anu dapatlah,kenapa pula dia yang dapat", "padahal saya yang minta.." banyak lagi kes-kes sebegini berlaku di kampung-kampung sehingga sesuatu projek itu dipindahkan ke tempat lain...bukankah merugikan!

Justeru berfikiran terbukalah.. cepat-cepatlah kita menyedari betapa rezeki bukan manusia yang tentukan tetapi Allah yang tentukan..Biar pun projek itu diluluskan semuanya atas kehendak Tuhan. Biar seteruk manapun yang berlaku semuanya untuk kemajuan kampung..Yang penting tatacara prosedur di turuti. Jika ada pun kelemahan dan kepincangan, kita masih ada pilihan untuk menyuarakan..bukan dengan cara yang mengheret dan menjunam ke arah persengketaan...

Read more...

Tuesday, September 1, 2009

TERIMA KASIH PENGALAMAN

Betapa dalam kehidupan kita seharian. Banyak perkara, pengalaman atau peristiwa pahit, manis dan masam-masam yang berlaku pada diri kita. Sama ada ia mendatangkan kesan pada diri kita atau tidak, terpulang pada individu tersebut. Namun ia tetap memberikan pengajaran. Sedar atau tidak sedar. Langsung atau tidak langsung.

Saya, seperti juga rakan-rakan yang lain. Seperti orang lain. Seperti juga manusia-manusia lain, yang punya pengalaman suka-duka dan pahit-manis. Tentunya ada yang mengembirakan, ada juga yang menyakitkan. Semuanya saya simpan. Memang banyak pengalaman yang mengembirakan. Luas perjalanan banyak pengalaman. Banyak…

Tapi bagaimana pula pengalaman yang menyedihkan dan yang menyakitkan? Jika seseorang yang pernah mencaci, menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada kita. Mudahkah untuk kita melupakannya? Adakah kita sedang belajar membalas dendam? Atau mungkin berusaha membaiki diri? Sedarkah kita bahawa disinilah manfaat sebenar dari peristiwa tersebut. Kesukaran, kesusahan dan kesakitan hati yang kita lalui sebenarnya telah memberi pengajaran. Kita telah pun belajar sesuatu…

Suatu ketika dulu saya pernah melalui pengalaman apabila ada rakan yang merendah-rendahkan kemampuan saya. Namun akhirnya, saya dapati rakan tersebut sangat berjasa pada saya kerana mengajar saya erti kesungguhan dan kesabaran. Saya berjanji tidak akan merendah-rendahkan sesiapa saja kerana memahami bahawa setiap orang punya kelebihan dan kekurangan. Setiap individu mahu dianggap penting dan dihormati.

Saya juga pernah mempunyai pengalaman berada dalam kelompok rakan-rakan yang mempunyai sikap suka memburuk-burukkan orang lain. Namun saya bertuah kerana mempelajari sesuatu darinya. Saya belajar bagaimana menjaga perasaan orang lain. Pengalaman tersebut benar-benar mengajar saya untuk menjadi jujur dan setia terhadap orang lain.

Pernah juga pengalaman saya diherdik ketika menaiki bas . Pernah juga berada hadapan kaunter pertanyaan sedang kakitangann tersebut terus bergayut di telefon membiarkan kita ternganga di hadapannya. Semua ini adalah pengalaman yang sangat berguna. Kita harus mengucapkan terima kasih. Melalui pengalaman pahit yang diberikan, kita dapat menjadi manusia yang lebih baik? Bahkan dalam konteks yang lebih luas pengalaman-pengalaman inilah yang diutuskan oleh Allah untuk menemui kita dan mengajar kita erti nilai kehidupan…Sesungguhnya pengalaman mematangkan kita. TERIMA KASIH PENGALAMAN…

Read more...

SELAMAT DATANG


RENUNGAN.....

Memuji bukan bermakna menyokong, mengkritik tidak bererti membenci. berilah pujian di depan umum dan berilah kritikan secara empat mata. Jangan mengecam mereka yang sudah berusaha tetapi gagal tapi kecamlah mereka yang gagal berusaha...

-Pepatah Tibet-

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP